Thursday, March 09, 2006

Sukma 2006 [26 Mei - 4 June]

Cadangan menganjurkan SUKAN MALAYSIA telah dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada tahun 1984. Pada mulanya SUKAN MALAYSIA telah dicadangkan supaya diadakan pada 15hb Ogos - 2hb September 1985 dengan melibatkan enam (6) jenis sukan sahaja iaitu olahraga, tenis, bola tampar, lumba basikal, ping-pong dan sepak takraw.

Cadangan ini telah menarik perhatian berbagai pihak dan satu cadangan balas telah dikemukakan. Cadangan baru ini melibatkan lebih banyak sukan serta penglibatan pihak swasta dalam usaha mengumpulkan kewangan yang cukup. Cadangan ini kemudian telah dikemukakan kepada Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara yang mengambil keputusan untuk menganjurkan SUKAN MALAYSIA pada tahun 1986. Keputusan juga diambil bahawa konsep 'Malaysian Incorporated' dipakai sambil mengambilkira tentang peraturan-peraturan sukan amatur.

Sukan Malaysia merupakan temasya sukan yang dikelolakan setiap dua(2) tahun sekali berselang-seli dengan Sukan SEA. Ia disertai oleh 18 buah kontinjen terdiri daripada 15 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia(PDRM), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Di samping itu atas persetujuan kabinet, Negara Brunei Darulsalam turut di undang mengambil bahagian sebagai kontinjen jemputan.

SUKAN MALAYSIA kini lebih dikenali sebagai SUKMA.

SUKAN MALAYSIA dari segi prinsipnya dikelolakan secara bergilir-gilir di kalangan negeri-negeri, bagaimanapun SUKMA I dan SUKMA II dikelolakan sendiri oleh Majlis Sukan Negara di Kuala Lumpur.

No comments: